TUMPAT: Kenaikan harga dan kesukaran mendapatkan bekalan daging, ayam dan ikan menjejaskan perusahaan serunding Kampung Laut di sini yang dianggarkan pengeluarannya tidak sampai lima tan metrik pada tahun ini.
Pengeluarannya dianggarkan merosot 50 peratus berbanding 10 tahun metrik setahun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Demi kelangsungan hidup, ada pengusaha kecil-kecilan tidak mampu bertahan dan terpaksa mencari mata pencarian lain, menjadikan jumlah pembuat serunding berkurangan kepada 40 orang, berbanding 60 orang sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Mukim Kampung Laut, Ghazali Harun berkata, daripada jumlah itu, tiga pengusaha beroperasi dalam berskala besar di kilang masing-masing manakala selebihnya pembuat serunding kecil-kecilan.
Kata beliau, tempahan dalam talian tidak memadai untuk membantu perusahaan warisan turun-temurun penduduk Kampung Laut sejak tiga dekad itu bertahan kerana rata-rata pengusaha bergantung kepada pelancongan domestik
“Sehubungan itu, kelonggaran merentas negeri diberi pihak kerajaan sejak awal bulan ini ibarat rahmat untuk kami kerana perniagaan serunding kembali rancak.
“Kehadiran perantau yang balik kampung serta pelancongan domestik yang melawat Kelantan amat melegakan para pengusaha, terutama yang berskala kecil kerana sudah mampu bernafas semula.
Tambah Ghazali, Kampung Laut yang penduduknya 100 peratus Melayu rata-ratanya gigih meneruskan perusahaan serunding peninggalan orang tua masing-masing kerana pulangannya lumayan.
Antara yang terjejas akibat pandemik, Serunding Suzara, salah satu jenama gergasi dalam kalangan pembeli dalam dan luar Kelantan kerana menghasilkan serunding yang sedap dan berkualiti.
Pemiliknya, Fatin Nabila Sukri 28, berkata, sejak PKP tahun lepas hasil kutipan jualan serunding jatuh 50 peratus iaitu sekadar lima angka berbanding sebelum musim Covid-19 yang mencecah enam angka.
“Sebelum PKP, kami mampu hasilkan kira-kira tiga tan serunding daging, ikan dan ayam dihasilkan. Sekarang hanya 1.2 tan dihasilkan.
“Di samping kurang tempahan, sebab lain pengeluaran merosot ialah kenaikan harga bahan mentah terutama daging, ikan dan ayam sehingga kami tidak mampu serap kos lagi dan terpaksa menaikkan harga RM2 bagi setiap sekilogram serunding,” katanya. -UTUSAN ONLINE