Eremy kaki mengail kini ‘pancing’ pelanggan beli pokok keladi - Utusan Malaysia

Eremy kaki mengail kini ‘pancing’ pelanggan beli pokok keladi

EREMY Paing (kanan) bersama isteri dan empat anak-anaknya menunjukkan tanaman pokok keladi yang terdapat di rumah mereka di Kampung Parit Jamal, Benut, di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bermula dengan mengisi masa lapang kerana aktiviti memancing tidak dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya aktiviti menanam keladi memberikan pendapatan tambahan kepada keluarga Eremy Paing.

Eremy yang kini berusia 49 tahun bukan nama asing dalam kalangan kaki pancing bersama Team Pari Johor (TPJ), tetapi kini, dia berdampingan dengan pokok-pokok keladi yang semakin digemari orang ramai untuk mencantikkan halaman rumah.

Mengakui pekerjaan hakiki di sebuah kawasan industri di Simpang Renggam terjejas berikutan PKP ekoran pesanan yang diterima majikan semakin berkurangan, maka, pendapatan menjual pokok-pokok keladi itu dapat menampung mereka sekeluarga.

“Saya hanya bekerja beberapa hari dalam seminggu dan kerana banyak waktu lapang serta tidak boleh pergi memancing dahulu, saya mula terjebak dengan hobi menanam pokok keladi bersama isteri, Norazuan Rahmat, 44, dan empat anak perempuan kami.

“Jadi, daripada sekadar hobi, kini telah menjadi perniagaan dengan menggunakan tanah seluas 16 kaki x 24 kaki yang saya usahakan selain menambah koleksi bunga keladi dengan membeli daripada pengusaha lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Parit Jamal, Benut, semalam.

Kata Eremy, pada peringkat awal, dia mendapatkan pokok-pokok keladi di kawasan kampung sebelum membeli dari nurseri berikutan mendapat sambutan baik daripada pembeli dalam kalangan rakan-rakannya dan masyarakat setempat.

Disebabkan permintaan bertambah, dia juga terpaksa mendapatkan bekalan pokok keladi daripada pembekal di Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan selain Johor sendiri melalui perkongsian maklumat yang diperoleh dalam kumpulan WhatsApp.

“Ternyata pokok keladi mempunyai pelbagai nama seperti guinea gold 916, anthurium, darth maul, daging urat merah, daging urat hitam, black magic serta cat tumpah.

“Malah, nama-nama seperti black coral, keladi zebra, burle max, mickey mouse, festiva, sirih emas, sirih batik dan puluhan nama lagi sentiasa meniti di bibir penggemar tanaman tersebut di seluruh negara,” katanya.

Bagi harga sepasu pokok keladi, dia berkata, harga ditentukan berdasarkan kepada bilangan ‘anak-anak’ pokok serta kelebaran daun sehingga ada yang boleh mencecah kepada RM300 bagi setiap pasu.

“Ada juga kami jual dengan harga bermula dari RM15 sepasu mengikut jenis pokok keladi bagi memastikan pelanggan berpuas hati untuk berurusan dengan kami lagi selepas itu,” ujarnya.

Selain itu, Eremy turut menjual tanah hitam organik dengan harga RM6 sekampit dan pakej RM20 bagi empat kampit selain menjual baja ikan untuk pokok keladi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN