JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menawarkan pemberian baucar dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta kepada pelancong ke negeri ini sebagai galakan memacu sektor pelancongan Johor susulan peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 24 September lalu.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, baucar itu ditawarkan dalam bentuk potongan harga bagi produk pelancongan tertentu menerusi program yang diadakan termasuk Virtual Majestic Johor Week 2021.
Beliau berkata, pelancong domestik boleh memperoleh baucar berkenaan melalui aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI) mulai 10 Oktober ini.
“Pemberian baucar ini secara tak langsung dapat menggalakkan kunjungan pelancong domestik termasuk dari luar Johor pada tahun depan.
“Sektor pelancongan merupakan sektor penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Kempen Johor Virtual Majestic 2021 ini membolehkan Johor mengetengahkan produk pelancongan dalam bentuk yang lebih terkini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Johor Tourism Interchange (JTI) dan Virtual Majestic Johor Week, di sini hari ini.
JTI merupakan satu portal digital pelancongan yang dibangunkan dengan mengunapakai elemen teknologi revolusi perindustrian ke-4 ( 4IR ) dengan seramai 1,000 pengusaha pelancongan di negeri ini telah berdaftar menerusi aplikasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, kerajaan negeri bersetuju untuk melakukan penstrukturan semula Tourism Johor yang merupakan agensi di bawah kerajaan negeri agar peranannya menjadi lebih berkesan ketika sektor pelancongan berdepan penularan Covid-19.
Katanya, langkah itu perlu dilakukan agar sektor pelancongan lebih bersifat antarabangsa selain mengurangkan karenah birokrasi supaya potensi produk pelancongan dapat dimaksimakan.
“Tourism Johor perlu ke hadapan untuk mengangkat sektor pelancongan sejajar dengan potensi yang ada. Selain itu, ia juga harus mampu memberi jaminan keselamatan kepada pelancong apabila berada di lokasi pelancongan.
“Oleh itu Tourism Johor perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menyediakan lebih banyak kemudahan dan produk pelancongan yang menjadi nilai tambah kepada industri itu,” katanya.
Kata beliau, pelbagai program pelancongan baharu dan juga yang sedia ada akan terus dilaksanakan. Namun apa yang lebih penting ialah kesiapsiagaan sektor pelancongan Johor pada tahun hadapan,” katanya. -UTUSAN ONLINE