PADANG TERAP: Syarikat pengangkutan, Mara Liner Sdn. Bhd. (Mara Liner) menyediakan perkhidmatan sebanyak 174 perjalanan bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, Perlis setiap minggu bagi membantu menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi sejak 16 September lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bas ekspres itu turut mengambil penumpang dari Shah Alam sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis.
Menurutnya, perjalanan bas ekspres tersebut mendapat sambutan menggalakkan selepas kerajaan melancarkan gelembung pelancongan Langkawi.
“Mara Liner turut menyediakan perkhidmatan bas ekspres ke destinasi projek rintis gelembung pelancongan sebagai sokongan terhadap projek tersebut di bawah inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas Baharu Mara Liner di Bengkel Mara Liner Kuala Nerang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap memberitahu, penumpang juga tidak perlu bimbang menaiki bas Mara Liner kerana kesemua pemandunya telah lengkap menerima suntikan vaksin sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pada masa sama, penumpang yang ingin membeli tiket bas ekspres Mara Liner juga disyaratkan lengkap dua dos suntikan vaksin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, perkhidmatan bas Mara Liner terutamanya di kawasan luar bandar tetap diteruskan walaupun mengalami penurunan penumpang kesan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.
Menurutnya, seramai 12,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas Mara Liner berbanding 83,000 penumpang di seluruh negara pada 2019.
“Keadaan itu berlaku akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, selain orang ramai turut bimbang untuk keluar dan menggunakan perkhidmatan bas.
“Walaupun berhadapan penurunan jumlah penumpang pada 2020 dan tahun ini, Mara tetap komited membantu masyarakat luar bandar dalam menyediakan perkhidmatan bas harian setanding yang dinikmati penduduk di kawasan bandar,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE