Rezeki kais kerang, remis - Utusan Malaysia

Rezeki kais kerang, remis

ORANG ramai mengutip kerang dan pelbagai hasil laut seperti remis, kepah dan kijing di Pantai Tanjung Kepah, Lekir dekat Lumut. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pesisir Pantai Tanjung Kepah di Kampung Batu 9 Lekir di sini kembali menjadi tumpuan apabila orang ramai mencuba nasib mencari kerang dan hasil laut lain yang terdampar di pantai itu berikutan fenomena air pasang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai sanggup berpanas untuk mengutip hidupan laut itu sama ada untuk dijual atau dijadikan hidangan keluarga.

Lebih meriah apabila aktiviti itu bukan hanya disertai penduduk setempat malah ada yang datang dari daerah lain.

Seorang penduduk, Nor Anissah Sabari, 47, berkata, dia yang menetap di Teluk Intan tidak melepaskan peluang datang untuk beriadah susulan kelonggaran prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di Perak.

Katanya, dia datang seawal pukul 7 pagi untuk mengutip kerang dan berjaya memperoleh lapan kilogram dalam tempoh empat jam.

“Kerang bersaiz sederhana ini biasanya kalau di pasar harganya dalam RM15 untuk satu kilogram. Hari ini, saya bukan sahaja dapat kerang malah ada juga remis dan siput.

“Kalau mahu beli, agak mahal juga jadi dalam pada beriadah, kami cuba nasib mencari kerang, sekurang-kurangnya jimat juga belanja dapur minggu ini,” katanya ketika ditemui di pantai tersebut di sini hari ini.

Bagi Roslina Bahadun, 45, dari Manjung, mengutip kerang di Tanjung Kepah adalah pengalaman pertamanya meskipun mengetahui lokasi tersebut merupakan tumpuan ramai peminat hasil laut.

Katanya, dia tidak sabar untuk merasai sendiri kesegaran makanan laut yang diperolehinya terutama remis yang dikatakan manis berbanding lala.

“Saya belum pernah mencuba remis dan tidak sabar untuk merasainya kerana orang kata rasanya manis dan segar selain sesuai dimasak tumis air (rebus),” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tanjung Kepah, Ahmad Zaidi Hashim, 45, berkata, pantai itu memang menjadi tumpuan ramai terutama pada bulan Mac hingga Disember.

Katanya, rata-rata penduduk dan orang luar yang datang tidak melepaskan peluang mencari hasil laut seperti kerang, remis, kepah, kupang, siput sudu dan gayam yang terdampar di pantai itu.

“Kerang, kepah dan gayam bermusim dan orang memang ramai ketika itu terutama pada hujung minggu, manakala remis dan kinjing pula sentiasa ada.

“Sebelum ini, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tanjung Kepah memang sunyi dan suram tetapi selepas kelonggaran untuk aktiviti sosial diberikan, pantai ini kembali meriah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya