SERDANG: Para pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) khususnya dari Kolej 14 baru-baru ini berpeluang menerima petua untuk meningkatkan kemahiran komunikasi daripada selebriti Sherry Alhadad.
Program Beauty & Talent with Sherry Alhadad anjuran Majlis Perwakilan Kolej 14 itu bertujuan menyediakan platform kepada Sherry Alhadad yang merupakan seorang pelakon, pengacara dan penggiat seni tanah air berkongsi pengalaman, panduan dan memfokuskan kemahiran berkomunikasi yang perlu ada pada setiap individu terutama mereka yang berbakat dan berminat untuk menceburi bidang pengacaraan dan industri seni.
Pengisian program terbahagi kepada tiga slot. Dalam slot pertama, panel jemputan menceritakan pengalaman, petua dan cabaran dalam bidang pengacaraan dan sebagai penggiat seni. Slot kedua pula perkongsian mengenai topik kecantikan dan bakat dari perspektif seorang pengacara dan penggiat seni. Bagi slot terakhir, para peserta diberikan peluang untuk bertanyakan soalan kepada panel jemputan dalam sesi soal jawab.
Pengarah program, Nur Khumaira berkata, beliau berharap program sedemikian dapat menjadi platform untuk melahirkan pelajar Kolej 14 yang berkeyakinan tinggi dalam berkomunikasi serta berinspirasi untuk menceburi bidang pengacaraan.
“Seperti yang kita ketahui, kini kemahiran komunikasi sangat penting terutamanya bagi mahasiswa yang bakal bergelar graduan dan akan melangkah ke dalam bidang kerjaya.
“Ini seterusnya dapat membuka fikiran mahasiswa serta orang awam terhadap pengaruh kecantikan dan bakat di dunia realiti sebenar,” jelasnya.