Banjir kilat di Sungai Putat - Utusan Malaysia

Banjir kilat di Sungai Putat

ANGGOTA bomba daripada BBP Ayer Keroh membantu menyelamatkan mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasukan bomba menyelamatkan seramai 10 wanita dan sembilan kanak-kanak yang terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.14 petang tadi.

Katanya, sepasukan 12 pegawai dan anggota bersama-sama sebuah jentera, dua buah bot serta lori angkut dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 12.26 petang dan mendapati berlaku limpahan air dari kawasan takungan sehingga menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki banjir.

“Kerja-kerja penyelamatan mangsa dilakukan dan kita telah mengeluarkan seramai 10 wanita dan sembilan kanak-kanak daripada kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) bagaimanapun tidak dibuka dan kesemua mangsa hanya dipindahkan ke kawasan selamat berdekatan.

“Kejadian ini merupakan banjir kilat dan kebiasaannya air akan mulai surut selepas beberapa jam, jadi, tiada PPS yang dibuka hari ini.

“Mereka yang terjejas akan dibenarkan pulang ke rumah sebaik sahaja air surut dan selamat,” jelasnya.

Tambahnya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 1.55 petang tadi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya