PUTRAJAYA: Masih ramai dalam kalangan rakyat yang keliru dan menganggap Malaysia sudah pun beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak kelmarin.
Sebaliknya, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa seluruh negara masih lagi dalam Fasa 1 PPN yang diumumkan pada 15 Jun lalu.
“Peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh dan jika sudah capai tiga nilai ambang ketika tempoh singkat, maka fasa berikut dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau menerusi kenyataan hari ini merujuk kemarahan rakyat apabila menyangka negara sudah pun memasuki Fasa 2 PPN selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Keadaan itu timbul apabila banyak sektor yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibenarkan beroperasi namun didapati terus ditutup seperti biasa.
Antaranya kedai buku, elektronik dan komputer masih belum dibuka sehingga menyukarkan ibu bapa membantu anak mereka dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Fasa 1 dalam PPN adalah kekal memandangkan tiga indikator kadar ambang utama belum dicapai.
“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan keluk kes Covid-19 yang masih lagi melebihi 4,000 kes sehari,” tambah beliau.
PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu sepatutnya tamat Isnin lalu tetapi digantikan dengan pelaksanaan PPN dengan mengandungi empat fasa dan dijangka berakhir akhir tahun ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa hanya satu premis yang diarahkan tutup semalam kerana didapati sengaja melanggar arahan pihak kerajaan dan SOP ditetapkan.
Tindakan tegas tersebut ujar beliau, hasil pemeriksaan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan ke atas 1,867 kilang dan 11,316 premis perniagaan di seluruh negara semalam.
“Secara kumulatif, sebanyak 96,975 pemeriksaan dan pemantauan secara mengejut dibuat pasukan itu dengan jumlah kekuatan seramai 21,026 anggota pelbagai agensi,” katanya.
Kerajaan jelasnya, akan terus mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan secara menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan yang dikesan banyak mengingkari SOP diwartakan. -UTUSAN ONLINE