CYBERJAYA: Gangguan liputan komunikasi dan internet dijangka berlaku kepada pelanggan TM Unifi Mobile dan Celcom di beberapa kawasan di Seberang Perak dan Perak Tengah berikutan kejadian menara milik TM tumbang, Ahad lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, insiden berlaku akibat hujan lebat dan angin kencang sekitar pukul 4 petang pada hari tersebut.
“Menara milik TM berkenaan dikongsi dengan Celcom dan ekoran itu, gangguan liputan dijangka berlaku kepada pelanggan kedua-dua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.
“Bagaimanapun, pihak SKMM mengarahkan penyedia perkhidmatan yang berada di menara tersebut untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan segera,” katanya.
Jelas SKMM, sebagai langkah awal, Mobile Base Transceiver Station (MBTS) akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan dan memulihkan liputan selewat-lewatnya Jumaat ini. – UTUSAN