Kem buat Rohingya, kerajaan teliti pelbagai aspek - Utusan Malaysia

Kem buat Rohingya, kerajaan teliti pelbagai aspek

HAMZAH Zainuddin bertanyakan sesuatu kepada penduduk etnik Rohingya sewaktu meninjau dua lokasi yang menjadi tumpuan penempatan warga itu di Butterworth, Pulau Pinang pada 15 Jun 2021. - UTUSAN/ MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kerajaan perlu meneliti dan mengambil kira pelbagai aspek berhubung gesaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya kem pelarian termasuk untuk etnik Rohingya dibina di negara ini. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, antara perkara yang perlu dilihat termasuk dari aspek lokasi dan pembinaan kem bagi pelarian tersebut sebelum polisi berkaitannya diumumkan. 

“Ya perkara itu (kem pelarian) adalah apa yang dicadangkan mereka (UNHCR) bagi menangani isu pelarian Rohingya, tetapi kita tidak pasti bentuk kem pelarian bagaimana yang dimaksudkan. 

“Dalam hal ini kita kena melihat kepada realiti seperti tempat dan lokasi serta pembinaan (kem pelarian), itu semua perlu diambil kira sebelum kita umumkan sesuatu polisi,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau dua lokasi yang menjadi lokasi penempatan warga asing dan etnik Rohingya di sini iaitu di Rumah Pangsa Jalan Terubuk dan Pangsapuri Taman Sutera di sini. 

Tinjauan bersama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu dilakukan ekoran aduan masyarakat yang mendakwa terganggu dengan kehadiran terlalu ramai warga asing termasuk etnik Rohingya di kawasan mereka. 

Dalam pada itu, Hamzah berkata, kerajaan juga akan meminta UNHCR menyerahkan senarai pemegang kad suruhanjaya tersebut di negara ini bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan. 

Ketika ini kata beliau, tindakan penguatkuasaan  seperti bagi kesalahan tinggal melebihi tiga tahun tidak dapat diambil kerana kerajaan tidak mempunyai senarai mereka yang memegang kad UNHCR. 

Jelasnya, UNHCR sepatutnya boleh memberikan senarai itu tanpa meletakkan sebarang syarat yang hanya akan menunjukkan suruhanjaya berkenaan tidak ikhlas dalam tindakan mereka. 

“Apa yang dilakukan ini bukan kerana kita tidak ada perasaan perikemanusiaan kepada mereka tetapi kerana kerajaan lebih mementingkan rakyat Malaysia supaya dapat tinggal lebih selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya