HULU TERENGGANU: Walaupun kedua-dua pergelangan tangannya kudung akibat bom buatan sendiri, itu tidak menghalang Abdul Halim Ali melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk menjadi tukang rumah bagi menyara kehidupan.
Malah, Abdul Halim, 48, dari Kampung Padang Setar di sini turut mengambil upah mengait kelapa sawit, berkebun dan menoreh getah di sebalik statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU).
Katanya, tragedi hitam bom yang dihasilkan bersama seorang rakan meletup kira-kira 35 tahun lalu ketika berusia 13 tahun bukan pengakhiran hidup, sebaliknya bersyukur kerana masih dipanjangkan usia.
“Selepas bom yang dipegang meletup, saya pengsan dan sedar setelah berada di hospital tujuh hari kemudian.
“Sebulan saya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu. Pada mulanya terkejut tengok kedua-dua tangan berbalut, tetapi saya reda kerana semua itu berpunca atas kesilapan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, kurang sebulan selepas keluar dari hospital, dia berusaha berdikari dan dapat menyesuaikan diri dalam masa yang cepat termasuk berjaya menamatkan pengajian sehingga tingkatan lima.
Katanya, sokongan keluarga, guru dan rakan banyak membantu memulihkan semangatnya.
“Hingga kini masih ada yang tidak percaya kemampuan saya untuk melakukan semua kerja seperti insan biasa.
“Mudah-mudahan kesilapan lalu dapat menjadi pengajaran kepada anak muda agar tidak melakukan perbuatan berbahaya walaupun sekadar untuk berseronok,” katanya. – UTUSAN