Buai Azmi eksklusif, jadi pilihan - Utusan Malaysia

Buai Azmi eksklusif, jadi pilihan

MOHD. Azmi Abdullah mementingkan kualiti, keselesaan dan keselamatan walaupun harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT mendalam terhadap seni pertukangan, membawa tuah kepada Mohd. Azmi Abdullah, 53, apabila buaian yang dihasilkannya menjana pendapatan sampingan mencecah RM3,000 sebulan.

Perniagaan membuat buaian diusahakan sejak 11 tahun lalu itu kini mencatatkan jualan sebanyak 2,000 buah dalam kalangan penduduk tempatan atau luar yang menggemari produk eksklusif.

“Rekod tempahan tertinggi saya terima pada Ramadan lalu iaitu 80 buah, membabitkan pesanan dari kedai perabot dan orang perseorangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Rawai, Terengganui baru-baru ini.

Kakitangan Pejabat Pendakwaan Syariah Terengganu ini berkata, harga buaian adalah berdasarkan bentuk dan saiz.

Buaian dua tempat duduk dijual pada harga sekitar RM600, manakala tiga tempat duduk dan berbumbung masing-masing RM800 dan RM1,400. Manakala kos penghantaran antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada lokasi.

Kualiti, selesa dan cantik menjadikan buai buatan Mohd. Azmi Abdullah eksklusif sehingga menjadi rebutan orang ramai.

Kerja sambilan diusahakan sejak 2009 itu dilakukan bersama isteri, Adlina Adnan, 36 di bangsal yang dibina sebelah rumahnya.

Katanya, idea menghasilkan buaian itu tercetus semasa kunjungan ke sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada 2008. Ia sekali gus menjadi titik tolak penglibatannya dalam pembuatan kelengkapan perabot hingga kini.

“Saya tidak mempunyai sebarang asas mahu pun latihan khusus dalam bidang perabot. Saya hanya memanfaatkan ilmu pertukangan yang diwarisi daripada bapanya, seorang tukang rumah.

“Sejak umur 15 tahun lagi dan setiap kali menunggu keputusan peperiksaan saya membantu ayah membuat rumah dan walaupun sudah bekerja, rutin itu tetap saya lakukan pada hujung minggu untuk menambah pendapatan,” katanya.

Buaian pertama dihasilkan sekadar suka-suka untuk keluarga. Namun beliau tidak menyangka rekaannya itu berjaya menarik minat rakan sekerja yang berkunjung ke rumahnya semasa beliau menganjurkan majlis doa selamat untuk ke Mekah.

“Bermula dengan tempahan tidak diduga itu ia seterusnya berkembang hingga kini,” katanya.

BUAIAN buatan tangan Mohd. Azmi Abdullah turut dipamerkan dalam penganjuran program termasuk Karnival Pantai di Terengganu.

Mohd. Azmi berkata, walaupun harga ditawarkan bagi sebuah buaian buatan tangannya jauh lebih rendah berbanding pasaran, tetapi itu bukan alasan untuk beliau mengabaikan soal kualiti dan keselamatan kerana kedua-dua aspek itu telah menjadi pegangannya sejak bergelar tukang rumah sebelum ini.

Bapa kepada tujuh anak ini berkata, penghasilan buaian amat mementingkan buatan tangan yang halus dan teliti.

Bermula dari peringkat memotong kayu, mengecat dan melicinkan permukaan hingga kepada pemasangan.

Lazimnya, pada satu-satu masa dia akan memotong bahan yang terdiri daripada kayu kulim, papan dan kayu seraya secara sekali gus, membabitkan 10 buaian.

“Proses mengecat dilakukan sehingga tiga lapis bagi memastikan ketahanan dan kehalusannya. Struktur buaian turut dipasang kayu pada bahagian atas bagi membolehkannya lebih kukuh. Inspirasi itu saya ambil daripada pengalaman membuat rumah dulu,” katanya.

PELBAGAI bentuk dan saiz buai ditawarkan.

Ekoran permintaan yang luar biasa terhadap buaian eksklusif itu, beliau turut menggunakan khidmat dua anaknya, Ikhwan Baihaqi dan Mukhlis Shauqi bagi melancarkan proses pembuatan buaian.

Kualiti menjamin pemintaan tinggi. Kerja pertukangan membuat buaian menjadi lebih mudah dan cepat sejak beliau memiliki mesin berkaitan pembuatan yang diperoleh menerusi peruntukan bernilai RM20,000 diterima lima tahun lalu daripada Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Walaupun banyak persaingan dengan buaian di pasaran tetapi saya bersyukur tempahan yang diterima tidak putus-putus hingga kini. Soal keuntungan bukan keutamaan sebaliknya, saya seronok dan puas hati dapat meneruskan minat saya,” katanya.

Maklumat lanjut layari Facebook (FB) Seni Buaian atau hubungi 019-9782493.

Facebook : Seni Buaian
Jenis buai:
* Dua tempat duduk (RM600)
* Tiga tempat duduk (RM1,200)
* Berbumbung (RM1,600)

Kos penghantaran : RM100 hingga RM400 bergantung kepada lokasi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN