PETALING JAYA: Rakyat perlu diberikan maklumat benar, tepat dan pantas mengenai Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan dan perolehan vaksin-vaksin yang dibangunkan di luar negara.
Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, pasukan respons Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) perlu bersedia untuk menangkis salah faham atau maklumat tidak tepat mengenai vaksin yang akan diberikan kepada rakyat mulai hari ini.
“CITF harus menangkis maklumat separa benar atau palsu agar program imunisasi secara berfasa yang dimulakan hari ini kepada petugas barisan hadapan, anggota kesihatan dan keselamatan mencapai matlamat.
“Malah, golongan berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko serta orang awam perlu mempunyai kaedah pemudahcara yang efisien dan efektif demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan disyorkan mewujudkan Peta Pembangunan Vaksin Negara bagi tujuan menghasilkan vaksin buatan tempatan yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan International Council For Harmonization of Technical Requirements for Pharmaceuticals for Human Use (ICH).
Malaysia buat pertama kalinya menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang Ahad lalu.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula pada 26 Februari ini diawalkan hari ini dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin bersama-sama petugas barisan hadapan.
Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia itu turut menyifatkan, langkah Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama menerima vaksin Covid-19 sebagai ‘keberanian luar biasa’ dalam usaha memulihkan kesejahteraan kesihatan awam, kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
“Saya berharap jaminan keselamatan kesihatan rakyat yang bakal menyertai program yang membabitkan kos hampir RM800 juta, tidak diabaikan, sejajar komitmen Muhyiddin serta anggota Kabinet dan kementerian bertanggungjawab dalam usaha berkenaan,” katanya. – UTUSAN