Harga ikan tak naik melambung  - Utusan Malaysia

Harga ikan tak naik melambung 

Harga ikan di seluruh negara naik sedikit berbanding tempoh sama pada tahun lalu. - FOTO/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Harga kebanyakan ‘ikan rakyat’ di seluruh negara naik namun  belum ke tahap melambung seperti didakwa orang ramai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jika dibandingkan minggu kedua Februari lalu dengan tempoh sama tahun lalu, harga runcit 20 spesies ikan terpilih meningkat 6.4 peratus secara purata.

Menurut beliau, harga borong bagi 20 spesies ikan itu bagi tempoh sama pula meningkat 10.1 peratus secara purata.

“Sebagai contoh, harga kembung meningkat 5.6 peratus daripada RM14.05 sekilogram tahun lalu kepada RM14.83 sekilogram tahun ini manakala selar meningkat 7.1 peratus (RM13.74 sekilogram  kepada RM14.72 sekilogram).

“Aya kurik menurun 4.2 peratus daripada RM10.85 sekilogram tahun lalu kepada RM10.39 sekilogram tahun ini. Begitu juga dengan pelaling turun 12.9 peratus (RM12.12 sekilogram kepada RM10.56 sekilogram),” kata beliau di sini semalam.

Terdahulu, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat meluangkan masa melawat DDD Farm, sebuah ladang itik penelur diusahakan Wan Azman Wan Ibrahim di Kampung Delima, Wakaf Bharu di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelaksanaan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan industri perikanan tempatan terhadap warga asing.

Katanya, pihak kementerian melalui Jabatan Perikanan sedia maklum keluhan pengusaha bot yang terbeban akibat PLKS namun perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri. 

“Kita telah bawa isu ini kepada kementerian dan jabatan berkenaan. Perkara ini sedang diperhalusi sebelum pengumuman rasmi dikeluarkan,” katanya.

Tambah beliau, di samping komited mengurangkan kebergantungan industri perikanan terhadap warga asing, kerajaan turut menyediakan program, inisiatif dan kemudahan bagi menggalakkan penglibatan rakyat tempatan.

Antaranya, program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan bagi mentransformasi nelayan tradisi serta Skim Pembiayaan Bot Perikanan i(SPBP-i) yang ditawarkan Agrobank. 

“Golongan belia pula berpeluang mengikuti latihan dalam bidang perikanan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perak dan Akademi Perikanan Malaysia, Terengganu. 

“Latihan, kediaman dan makan minum ditanggung sepenuhnya  kerajaan selain pelatih turut menerima elaun RM200 sebulan,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya