Kadi perlu ambil langkah segera bendung Covid-19 - Utusan Malaysia

Kadi perlu ambil langkah segera bendung Covid-19

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar kadi-kadi daerah mengambil tindakan segera dan tegas dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 di masjid dan surau di seluruh negeri ini. 

Titah Sultan Ibrahim, kadi-kadi diingatkan merujuk pegawai daerah dan pegawai kesihatan daerah bagi mengenal pasti kawasan penempatan atau perkampungan disyaki terdapat jangkitan wabak itu.

Baginda  bertitah sekiranya terdapat mana-mana ahli jawatankuasa, pegawai dan jemaah masjid atau surau positif Covid-19, maka semua premis yang mempunyai kaitan dengan individu berkenaan perlu  melakukan sanitasi. 

“Kadi juga boleh mengarahkan supaya masjid atau surau mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat jika perkara itu dikhuatiri menular Covid-19.

“Sekiranya keadaan itu lebih kritikal, kadi boleh mengarahkan masjid atau surau ditutup untuk tempoh yang munasabah supaya tindakan pembendungan boleh diambil,” titah baginda dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Titah Sultan Ibrahim lagi, kadi-kadi diminta supaya terus mempergiatkan memberi peringatan agar ahli jawatankuasa masjid dan surau sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP).

SOP itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sebagai usaha membendung Covid-19.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN