Lebih 6 tan metrik makanan dihantar ke tiga lokasi di Terengganu - Utusan Malaysia

Lebih 6 tan metrik makanan dihantar ke tiga lokasi di Terengganu

HANAFIAH Mat (kanan) bersama Zuhami Omar (kiri) melihat bekalan makanan yang dihantar ke Pulau Redang di jeti Agensi Maritim Malaysia di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini. -  FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih enam tan metrik bekalan makanan dihantar ke tiga lokasi yang sukar diakses di negeri ini pada musim tengkujuh sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3.8 tan metrik diperuntukkan untuk penduduk di Pulau Redang manakala 2.2 tan metrik di Pulau Perhentian di samping di Kampung Raja, Dungun (400 kilogram).

“Penghantaran bekalan makanan seperti beras, biskut, gula dan tepung ke Pulau Redang mampu menampung keperluan kira-kira 1,300 penduduk daripada 240 keluarga di sana.

“Jika keperluan tidak mencukupi Insya-Allah kami akan menyediakan keperluan tambahan yang dihantar melalui udara berikutan keadaan ombak besar pada musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penghantaran keperluan makanan ke pangkalan hadapan Pulau Redang di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di samping Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Terdahulu, JKM negeri mengenal pasti sebanyak 568 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menempatkan seramai 135,000 mangsa sebagai persediaan menghadapi banjir di Terengganu, tahun ini.

Sementara itu, Hanafiah berkata, kerajaan negeri dalam Mesyuarat Mingguan Exco yang lalu meluluskan peruntukan khas kepada rakyat jika berlaku musibah bencana alam.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu program simulasi banjir peringkat negeri dirancang diadakan di Kemaman pada bulan depan bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) baharu dipatuhi sebaik mungkin dalam musim pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya