JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri kini sedang mencari jalan untuk membantu para peniaga yang berhadapan arahan penutupan operasi perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran peningkatan kes virus Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Izhar Ahmad berkata, mereka terlibat sahaja bukan sahaja sekitar Johor Bahru yang telah membabitkan peniaga Bazar Karat, pasar malam dan pasar pagi, malah juga di seluruh negeri.
Sehubungan itu, pihaknya sedang mencari jalan bagi memastikan peniaga terlibat tidak terputus punca pendapatan mereka.
“Namun pada masa sama golongan peniaga juga perlu faham keputusan dibuat PBT itu bagi mengekang penularan Covid-19 dan hanya bersifat sementara. Saya bertanggungjawab terhadap peniaga di Bazar Karat. Sebelum ini memang kita telah berkata mendapatkan kebenaran untuk beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.
“Namun berlaku gelombang kedua di mana operasi bazar berkenaan perlu dihentikan sementara. Kita akan lihat lokasi yang sesuai untuk memindahkan mereka seperti di pusat perniagaan Johor Street Market B5,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Geran Orang Lokal 2.0 di Dewan Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru mengeluarkan arahan menghentikan kesemua operasi pasar awam di kawasan pentadbiran mereka dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
Tambah Mohd. Izhar lagi, cadangan untuk meneruskan operasi perniagaan di kawasan yang terlibat perlu melihat kepada keadaan semasa membabitkan pandemik Covid-19.
“Untuk dibuka semula, itu bergantung kepada kawasan dan situasi semasa. Ini semua perlu diambil kira kerana kita tidak mahu ia (Covid-19) menular, nanti akan jadi lebih susah.
“Ketika ini kita perlu kekalkan rekod yang rendah bagi meyakinkan kerajaan agar kawasan terlibat boleh kembali beroperasi semula,” ujarnya. – UTUSAN