RANTAU PANJANG: Walaupun lebih 50 tahun telah berlalu, namun penduduk Kampung Gual Rimau, Bukit Tandak di sini masih lagi ‘kempunan’ untuk mendapatkan bekalan elektrik 24 jam meskipun beberapa kawasan sekitar sudah lama menikmati kemudahan itu.
Menurut dakwaan beberapa penduduk di situ, setiap kali tiba Pilihan Raya Umum (PRU) pelbagai pihak tampil ‘menabur’ janji untuk membantu menyelesaikan masalah itu, namun ia hanyalah cakap kosong sahaja.
Seorang penduduk, Ripin Jusoh, 70, berkata, kebanyakan mereka yang masih kekal menetap di sini hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan pada waktu malam.
“Nak pasang (generator) pada waktu siang memerlukan modal yang cukup besar kerana ia menggunakan sepenuhnya minyak diesel.
“Satu tong minyak diesel yang berisi padu lapan liter hanya bertahan selama tiga hari sahaja, jika diguna pada waktu malam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ripin memberitahu, disebabkan masalah itu ada sebilangan penduduk telah membuat keputusan untuk mengosongkan rumah mereka dan menyewa penempatan lain bagi mendapatkan bekalan elektrik.
Katanya, dengan adanya kemudahan generator itu ia memberikan nikmat kepada penduduk untuk menggunakan barangan elektrik yang menjadi ‘perhiasan’ pada waktu siang.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suhaimi Ismail, 50, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera masalah yang dihadapi mereka.
Katanya, dia terpaksa terus menetap di kampung berkenaan kerana itu adalah pilihan terbaik buat mereka sekeluarga.
“Saya boleh katakan hampir semua rumah di sini mempunyai pendawaian elektrik tetapi ia lebih kepada ‘perhiasan’ semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN