ALOR SETAR: Harga ikan kembung di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran Kota Setar (Temco) mengalami kenaikan RM2 hingga RM6 sekilogram.
Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga ikan bersaiz sederhana yang sebelum ini dijual bawah RM8 sekilogram mencapai RM10 hingga RM14.
Peniaga ikan di Pasar Besar Alor Setar, Said Osman, 61, memberitahu, kenaikan harga ikan itu berlaku sejak hari pertama pelaksanaan Temco di daerah ini Jumaat lalu.
“Harga biasa ikan kembung sebelum ini hanya di bawah RM8 sekilogram tetapi sejak Jumaat lalu, harga ikan itu terpaksa dinaikkan harga antara RM10 hingga RM14 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, kenaikan harga ikan di daerah ini dipercayai berpunca daripada masalah kekurangan bekalan.
“Ini berikutan ramai pemborong dan peraih sukar bergerak untuk mendapatkan bekalan di kawasan Kuala Kedah susulan perintah kawalan pergerakan ini,” ujarnya.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip berkata, tinjauan mendapati kenaikan harga itu melibatkan ikan kembung saiz sederhana.
“Saya difahamkan punca kenaikan harga ikan ini adalah cuaca hujan kebelakangan ini selain peraih yang sukar untuk bergerak dalam kawasan Temco,” katanya.
Beliau berkata, dia telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan bekalan ikan di situ dapat menampung keperluan pengguna.
“Saya menasihatkan pengguna agar membeli mengikut keperluan sahaja kerana bekalan makanan mencukupi,” tambahnya. – UTUSAN