Suami isteri tinggal di kediaman usang impikan rumah selesa - Utusan Malaysia

Suami isteri tinggal di kediaman usang impikan rumah selesa

ZAIRAH Omar dan suaminya, Johan Yusop mengharapkan kediaman mereka yang usang dibaiki dan diubah suai di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Balik Pulau, Pulau Pinang. – UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pasangan suami isteri yang berdepan kesempitan hidup dan menetap di sebuah rumah usang di kaki bukit Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini mengimpikan kediaman lebih selesa dan selamat daripada sebarang bencana serta ancaman reptilia berbisa.

Penghuninya, Zairah Omar, 59, berkata, dia yang tinggal di rumah pusaka pe­ninggalan arwah ibu mentua­ bersama suami, Johan Yusop, 67, sejak le­bih 40 tahun lalu itu kini semakin menyembah bumi de­ngan ke­adaan atap, din­ding dan lantai yang berlubang.

Menurutnya, mereka tidak berkemampuan mengu­bah suai kediaman berkenaan berikutan faktor kewangan dan usia apatah lagi kini hanya mengharapkan pertolongan tiga anaknya.

“Saya tidak meminta bantuan lain cuma mengharapkan rumah ini berubah menjadi sebuah kediaman sebenar dan selesa untuk didiami hingga akhir hayat kami. Anak-anak ada mengajak kami tinggal bersama tetapi kami lebih selesa tinggal di sini.

“Saya bimbang setiap kali hujan atau angin kencang, kami terpaksa berlari keluar dan tinggal di rumah anak-anak. Ini kerana, keadaan bumbung yang berlubang menyebabkan air hujan tiris ke segenap lantai rumah selain terdapat pokok-pokok besar di atas bukit berhampiran.

“Bukan itu sahaja, kediaman kami pernah dimasuki ular sawa dua tahun lalu dan tedung selar enam bulan lalu. Mujur tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, cerita Zairah yang lebih mesra disapa Kak Ton, kehidupan mereka menjadi semakin terkesan selepas suaminya yang juga seorang nelayan pantai diserang strok sehingga menyebabkan separuh badan sebelah kanan tidak dapat bergerak dua bulan lalu.

“Sejak diserang strok, suami hanya terbaring dan memakai lampin pakai buang. Namun hari ini, keadaannya semakin pulih setelah dibawa menjalani fisioterapi di Hospital Pulau Pinang,” ujarnya.

Zairah yang menghidap ken­­cing manis dan jantung itu memberitahu, kehidupan mereka kini hanya bergantung sepenuhnya daripada bantuan bulanan nelayan berdaftar yang diperoleh suaminya sebanyak RM250 sebulan selain dibantu anak-anak perempuannya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang kepada tabung tersebut boleh menyalurkannya ke Tabung Prihatin Baiki Rumah Asnaf melalui akaun Maybank Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang (557380003490). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN