BAYAN LEPAS: Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) akan memperkenalkan Skim Latihan Pengurusan Rumah Tangga bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu sekali gus mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan bumiputera di negeri ini.
Pengerusi MPBPP, Datuk Shabudin Yahaya berkata, skim itu juga dilihat dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pembantu rumah warga asing yang kini memonopoli bidang pengurusan rumah tangga.
“Sekarang ini kita terlalu bergantung terhadap pembantu rumah warga asing sedangkan bidang ini mampu diteroka dan dikuasai warga tempatan.
“Dengan skim ini, matlamat kita mempertingkatkan status quo dalam bidang perkhidmatan pengurusan rumah tangga dan menarik minat golongan bumiputera untuk menceburi bidang ini sebagai pekerja profesional,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Retreat MPBPP di sini semalam.
Menurut Shabudin, skim latihan itu akan dimulakan pada Januari tahun depan dengan kerjasama Kolej Komuniti dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melatih golongan bumiputera sebagai pegawai profesional bertauliah dalam bidang perkhidmatan rumah tangga.
Katanya, perbincangan lanjut dengan Kolej Komuniti dan UiTM akan dijalankan bagi merangka modul dan pengisian yang sesuai untuk skim tersebut.
“Sebagai contoh di UiTM Permatang Pauh ada kursus perhotelan, peserta boleh belajar bagaimana untuk meningkatkan kemahiran dalam penyediaan masakan, pengurusan kebersihan dan lain-lain.
“Peserta yang tamat kursus akan diberikan sijil dan kita jangka jumlah pendapatan mereka yang mengikuti skim ini boleh mencapai sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Tambah beliau, segala pembiayaan untuk peserta menyertai skim tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh MPBPP. – UTUSAN