Mohd. Hafiz pangku tugas Ketua Polis Daerah Jempol - Utusan Malaysia

Mohd. Hafiz pangku tugas Ketua Polis Daerah Jempol

CHE ZAKARIA OTHMAN (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Jempol di antara Mohd. Khairiel Mohd. Arif (kanan) dan Mohd. Hafiz Muhammad Nor di Dewan Serbaguna IPD Jempol, Jempol, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor memangku jawatan Ketua Polis Daerah Jempol berkuat kuasa hari ini.

Ia berikutan, Ketua Polis Daerah sebelum ini iaitu Mohd. Khairiel Mohd. Arif dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada Asisten Komisioner dan akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Majlis terima tugas di antara Mohd. Khairiel dan Mohd. Hafiz berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pagi tadi dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman.

Turut diadakan, majlis terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Jempol di antara Safinaz Muhammad Yusuf dan Noorain Khairudin.

Che Zakaria sebelum itu turut melakukan pemakaian pangkat Asisten Komisioner kepada Mohd. Khairiel.

Dalam pada itu, Che Zakaria dalam ucapannya berkata, kenaikan pangkat bukanlah satu kemegahan sebaliknya amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul.

“Laksanakan tugas dan amanah dengan sepenuh hati, berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi pada setiap masa,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan dan berterima kasih atas sumbangan Mohd. Khairiel ketika memberikan khidmat di IPD Jempol.

“Dalam tempoh tujuh bulan memimpin IPD Jempol, tuan telah berjaya melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan berkesan sekali.

“Banyak kejayaan dikecapi yang secara langsung membuktikan kepemimpinan tuan memberikan impak besar kepada keamanan dan keselamatan warga Jempol khususnya serta menaikkan imej Polis Diraja Malaysia Kontinjen Negeri Sembilan di mata masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN