KUANTAN: Sekitar tahun 1920-an hingga 1930-an, kerajaan yang ketika itu diperintah oleh British telah melaksanakan peraturan iaitu setiap basikal perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran.
Menceritakan perkara itu, Pengerusi Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang, Azizan Mansor, 65, berkata, tujuan utama ia dilakukan demi keselamatan dan dia sendiri ketika berusia berusia 17 tahun mempunyai sebuah basikal yang mempunyai nombor plat pendaftaran diberikan oleh bapa saudaranya.
“Dulu, hendak beli sebuah basikal bukan murah, bapa saudara saya dulu bekerja di stesen kereta api dan dia mampu beli basikal. Jadi demi keselamatan ia perlu didaftarkan, jika hilang atau kemalangan, terjamin.
“Setahu saya, peraturan ini (lesen basikal) dilaksanakan sekitar tahun 1920-an ke 1930-an dan selepas 1940-an ia lenyap begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Taman Guru di sini hari ini.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan kenyataan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mengkaji keperluan mendaftar, melesen dan meletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Peraturan ketat ini nampak jumud dan tidak masuk akal, namun, ia penting demi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
Azizan berkata, Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang menyokong cadangan MIROS agar basikal perlu ada lesen.
“Sebab apa kerajaan British laksana, kerana mereka sudah mengkaji untuk keselamatan. Saya sudah lama bermain basikal, jadi kelab rasa ia perlu.
“Sebagai contoh, jika kita buat program berbasikal dan jadi perkara tidak diingini, sekurang-kurangnya terjamin dan tidaklah mati katak saja jika melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata, jika berlaku kemalangan, penunggang basikal ini selalunya tidak diendahkan jadi sebagai langkah terbaik, basikal perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran.
“Penerimaan orang lain kita (kelab) tidak tahu tapi dari sudut pandangan kelab, kita menyokong usaha ini, ia perlu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN