JOHOR BAHRU: Sebuah bengkel di sini mengambil inisiatif untuk mencipta inovasi dengan menghasilkan kerusi kereta mesra orang kurang upaya (OKU).
Pengurus Bengkel Syah Autoparts, Sulaiman Ali, 30, berkata, idea menghasilkan kerusi mudah alih ke atas kereta kompak tercetus ketika pihaknya membuat lawatan kerja ke Osaka, Jepun pada tahun lalu.
“Tahun lepas syarikat menghantar saya mengikuti kerja pemotongan kereta terpakai di sebuah kilang di Osaka, Jepun. Dari situ saya terlihat sebuah kereta kompak yang dipasang kerusi auto khas untuk OKU, biasanya orang kaya ada kereta besar sahaja pakai kerusi mudah alih ini.
“Jadi balik Malaysia, saya cuba menghasilkan kerusi seperti itu untuk kereta bersaiz kecil seperti Perodua Kancil, Myvi, Kenari dan Kelisa khusus untuk golongan OKU bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Sulaiman berkata, selepas inovasinya itu tular di media sosial, Syah Autoparts yang terletak di Jalan Kempas Utama 3/5, Taman Kempas Utama tidak menang tangan menerima tempahan bukan sahaja di Johor malah dari seluruh semenanjung Malaysia.
Jelasnya, kos ubah suai untuk memasang kerusi mudah alih dikenakan bengkelnya adalah RM1,400 termasuk kos upah.
Katanya, matlamat utama pihaknya adalah untuk membantu golongan OKU untuk bergerak dengan harga kos ubah suai lebih rendah.
Sulaiman berkata, pihaknya turut merancang untuk menghasilkan teknologi kerusi mudah alih itu sendiri pada masa akan datang.
“Bagi pelanggan yang ingin memasang kerusi tersebut kena buat tempahan terlebih dahulu kerana pihak kami perlu menempah teknologi dari Jepun.
“Mereka perlu menghubungi kami untuk tempahan atau untuk bertanya lebih lanjut di talian 0187934368 atau 076511659,” katanya. – UTUSAN