Ganti segera kelubung air lama elak banjir kilat berulang - Utusan Malaysia

Ganti segera kelubung air lama elak banjir kilat berulang

SIVAKUMAR (kiri) meninjau laluan utama merentasi Sungai Selinsing di Kampung Baru Nalla Tronoh yang sering dinaiki air akibat hujan lebat hingga mengakibatkan banjir kilat di Batu Gajah, Batu Gajah, Perak semalam. - UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Pihak berwajib diminta menyegerakan pembinaan kelubung air baharu bagi menggantikan kelubung air sedia ada di Sungai Selinsing yang melalui jalan utama Kampung Baru Nalla dekat sini.

Kelubung sedia ada yang dibina puluhan tahun lalu dan bersaiz kecil itu kini tidak mampu menampung air ketika hujan lebat berpanjangan hingga mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekitarnya.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, masalah itu bukan baharu malah sudah beberapa kali dibangkitkan sejak beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh pada 2008 sehinggalah bertukar ke kerusi Parlimen pada 2013.

“Saya sudah bawa masalah ini ke Dewan Undangan Negeri ketika menjadi ADUN Tronoh tetapi tiada penyelesaian. Saya juga sudah suarakan masalah ini di Parlimen, pegawai daerah juga maklum akan masalah ini dan memberi jaminan ia akan diselesaikan.

“Ada cadangan supaya dibina jambatan merentangi sungai berkenaan tetapi ia memerlukan kos yang tinggi selain akan menyukarkan penduduk.

“Langkah terbaik adalah dengan menukar kelubung sedia ada yang merentasi sungai dengan kelubung yang lebih besar bagi mengelak masalah berulang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru Nalla dekat sini hari ini.

Katanya, kelubung lama tidak dapat menampung jumlah air yang besar ketika hujan lebat ditambah lagi jika ia membawa bersama sampah yang akan menyekat laluan dan mengakibatkan air melimpah.

Beliau berkata, laluan utama itu bukan sahaja digunakan oleh penduduk Kampung Baru Nalla tetapi juga beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Kurnia dan Kampung Serkai Jadi.

Sementara itu seorang penduduk, Wong Lian, 70, yang kediamannya terletak berhampiran sungai berkata, tahun ini sahaja sudah tiga kali rumahnya dinaiki air berikutan hujan lebat.

“Saya tinggal di sini sudah lebih 30 tahun dan setiap kali hujan lebat, air mulai naik. Saya sangat bimbang, setiap tahun mesti ada kerugian akibat barangan rosak disebabkan banjir kilat.

“Yang terbaharu, Khamis lalu air naik kira-kira setengah meter, mujur anak-anak ada membantu menyimpan barang berharga dan dokumen di tempat tinggi, jadi kuranglah sedikit kerugian yang alami akibat ditenggelami air,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chin Siew Ping, 48, yang sudah tinggal di kawasan itu sejak 10 tahun lalu berkata, pihak berwajib diharap dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan kerana ia sudah berlarutan sekian lama.

“Ia bukan masalah baru, kami cuma berharap pihak berwajib dapat membantu mempercepatkan pembesaran kelubung yang merentasi laluan utama di Sungai Selinsing bagi memastikan kejadian banjir kilat tak berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya