Berhijrah amalkan norma baharu kehidupan  - Utusan Malaysia

Berhijrah amalkan norma baharu kehidupan 

TUANKU Syed Sirajuddin menghadiri sambutan Maal Hijrah peringkat Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini. Turut kelihatan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat agar mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW iaitu berhijrah daripada kehidupan biasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Titah baginda, sambutan Maal Hijrah kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, di mana seluruh dunia sedang bergelut antara hidup dan mati berdepan Covid-19.

“Sesuai dengan semangat hijrah Rasulullah SAW, marilah kita mengambil inspirasi daripada peristiwa penting dalam sirah ini, dalam membantu mengharungi hari-hari mendatang dengan berhijrah mengamalkan norma baharu yang belum pernah kita bayangkan sebelum ini. 

“Saya mengambil kesempatan menyeru semua pihak untuk terus bersatu hati dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dengan menjadikan norma baharu sebagai amalan kebiasaan dalam hidup kita,” titah baginda merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri ini di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Semua wira dan wirawati negara ini telah mengorbankan kepentingan dan keselesaan diri masing-masing, bersabung nyawa demi memastikan negara dan negeri yang dicintai ini bebas daripada Covid-19,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa hijrah terbaik adalah berubah daripada syirik kepada tauhid, daripada bid’ah kepada sunnah, daripada mungkar kepada makruf dan daripada jahil kepada berilmu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN