Tuanku Syed Faizuddin sampaikan sumbangan kepada mangsa ribut - Utusan Malaysia

Tuanku Syed Faizuddin sampaikan sumbangan kepada mangsa ribut

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dalam program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Ar Rahim, Kampung Titi Tok Bandar, Kangar, Perlis hari ini. - FOTO/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak tujuh buah rumah yang terjejas akibat ribut semalam menerima sumbangan wang tunai dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk kerja baik pulih kediaman.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan hadir ke program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Ar Rahim, Kampung Titi Tok Bandar di sini hari ini.

Baginda turut meluangkan masa meninjau dua buah rumah mangsa ribut yang terletak tidak jauh dari masjid itu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd. Noor dan Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal, Mohd. Nazri Mat Rejab.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris berkata, setakat ini, terdapat tujuh buah rumah yang terjejas akibat ribut dilaporkan kepada pihaknya dan bantuan sewajarnya telah pun disalurkan.

“Buat masa ini amil kariah sentiasa membuat pemantauan untuk tindakan segera penyaluran bantuan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa, Marzuki Hamid, 63, berkata, keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin selepas kejadian ribut kira-kira pukul 6.30 petang semalam adalah sebagai membawa rahmat.

“Saya berasa bersyukur kerana rumah saya yang terjejas di Kampung Gonchar mendapat perhatian MAIPs yang pantas menhulurkan bantuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN