Surau penyelidikan buluh pertama dibina di Kuala Nerus - Utusan Malaysia

Surau penyelidikan buluh pertama dibina di Kuala Nerus

KHAIRUDDIN Aman Razali (dua dari kiri) melihat Ahmad Samsuri memegang basikal yang diubahsuai menggunakan buluh pada Program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan di Hotel Paya Bunga (PB), Kuala Terengganu hari ini. - FOTO/ROSALINDA MD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebuah surau penyelidikan buluh yang pertama di Malaysia akan dibina di Dataran Tembesu di Kuala Nerus tidak lama lagi.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, surau buluh seluas 3,000 kaki persegi dengan kos pembangunan dan penyelidikan kira-kira RM400,000 itu bakal menjadi pusat rujukan serta kajian bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mendirikan bangunan dengan mengunakan  komoditi tersebut. 

Katanya, pelaksanaan projek surau perintis itu juga sejajar dengan pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam Industriِ Pembinaan di Kuala Terengganu yang diterajui  Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn. Bhd. (BJA) dan anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd. 

“Surau atau masjid buluh sudah ada di Gua Musang dan Kuala Kangsar tetapi yang dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan kajian buluh ini merupakan yang pertama di Malaysia. 

“Bahan yang digunakan itu akan dijadikan sebagai sampel penyelidikan untuk mana-mana pihak yang membuat kajian berkaitan produk berasaskan buluh,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan di Hotel Paya Bunga (PB) di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Toisin Gantor serta Pengerusi MTIB, Jugah Muyang. 

Terdahulu, Khairuddin turut menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara MTIB dengan BJA dan Golden Pharos Berhad. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, ketika ini kerja-kerja pembangunan surau penyelidikan buluh itu masih di peringkat struktur tanah sebelum disusuli dengan pembinaan yang mengambil masa selama sembilan bulan. 

Katanya, masyarakat boleh menjadikan surau penyelidikan itu sebagai model untuk pembinaan surau berkonsepkan sama di kawasan masing-masing. 

Dalam pada itu, menurut Khairuddin, negara mengeksport sebanyak RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini dan daripada jumlah itu, RM3 juta merupakan buluh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya