Kayuhan merdeka Raja Muda Perlis di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kayuhan merdeka Raja Muda Perlis di Pulau Pinang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Ar. Yew Tung Seang (depan, tiga dari kiri) bersiap sedia untuk memulakan kayuhan merdeka di City Hall MBPP, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Buat julung kalinya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan kayuhan basikal di negeri ini sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 semalam.

Kayuhan itu merupakan inisiatif baginda sendiri yang sentiasa komited berkayuh setiap tahun tanggal 31 Ogos dalam menyemai semangat patriotisme dan mewarnai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di samping mengenang jasa pahlawan dan wira negara.

Lebih manis, Pulau Pinang menjadi pilihan baginda selepas sebelum ini iaitu sejak 2014, program itu dilakukan di sekitar selatan Thailand namun tidak dapat diteruskan tahun ini berikutan pintu sempadan negara yang masih ditutup.

Menurut Setiausaha Sulit Tuanku Syed Faizuddin, Zaharin Haris, program kayuhan itu disertai seramai 120 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan agensi kerajaan wakil syarikat swasta dari negeri-negeri utara serta Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, kayuhan sejauh 18 kilometer itu bermula dari City Hall Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Padang Kota sehingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di samping mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan.

“Di hentian GSD Cycling Park pula, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenaan menanam pokok Sea hibiscus iaitu sebagai simbolik pertama kali baginda mengadakan kayuhan merdeka di negeri ini,” katanya.

Kayuhan itu turut disertai Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang.

Antara kayuhan sempena kemerdekaan baginda sebelum ini ialah di Padang Besar-Hat Yai (2014), Satun (2015), Songkhla (2017), Pakbara (2018) dan Chana (2019).

Sementara itu, menurut Zaharin, sempena kayuhan itu juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi turut melawat perkampungan Cina di Jeti Lee dan Pulau Jerejak untuk beramah mesra dengan penduduk sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya