JPJ Pulau Pinang keluarkan 7,100 notis pelbagai kesalahan - Utusan Malaysia

JPJ Pulau Pinang keluarkan 7,100 notis pelbagai kesalahan

ADENAN Md. Isa (kanan) melakukan pemeriksaan cermin gelap kenderaan persendirian dalam Operasi Khas di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengeluarkan sebanyak 7,100 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas yang berlangsung sejak Januari lalu sehingga kini.

Pengarahnya, Adenan Md. Isa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,638 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan penggunaan cermin gelap manakala 1,462 saman melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan.

Menurut beliau, kesalahan yang kerap dilakukan itu menunjukkan masih ramai tidak menyedari penggunaan cermin gelap akan membahayakan pemandu terutamanya ketika waktu malam dan cuaca hujan.

“Selain itu, kita juga sukar untuk mengesan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya antaranya penggunaan telefon bimbit dan pemakaian tali pinggang keledar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ negeri di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Operasi Khas itu melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota unit operasi di setiap daerah negeri ini.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan persendirian, kenderaan perkhidmatan awam (KPA) dan kenderaan perdagangan termasuk karavan, kenderaan barangan dan pelancongan.

“Hanya pemandu kenderaan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan saman manakala pemilik akan diberikan notis membawa kenderaan itu untuk diperiksa JPJ.

“Bagi pemeriksaan cermin gelap, kadar kegelapan cermin depan adalah 70 peratus, cermin sebelah penumpang dan pemandu 50 peratus dan tiada peratusan kegelapan untuk cermin belakang,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya kenderaan dipandu orang lain, saman dikeluarkan kepada pemandu manakala pemilik kenderaan akan diberikan notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN