PADANG TERAP: Kehidupan seorang ibu tunggal, Siti Fatimah Azizan semakin ‘kelam’ apabila tidak dapat bekerja untuk menyara keluarga selepas kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya pada 7 April lalu.
Siti Fatimah, 34, dari Kampung Banggol Donggol, Kuala Nerang di sini bukan sahaja menyara dua orang anak berusia 10 dan 12 tahun, malah menjaga ibu bapanya berusia 70-an yang uzur.
Selain itu, katanya, dia juga memelihara seorang anak saudaranya berusia 12 tahun selepas kematian ibunya kira-kira dua bulan lalu.
Menurut ibu tunggal itu, sebelum ini, dia bekerja sebagai tukang cuci di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
“Kaki kiri saya terpaksa dipotong hingga ke paras paha selepas hancur akibat dirempuh pacuan empat roda ketika saya dalam perjalanan ke tempat kerja, 7 April lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu kunjungan Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara, Zamzuri Mansor di rumahnya, di sini semalam.
Dalam kunjungan itu, Zamzuri menyampaikan sumbangan RM1,000 dan barangan keperluan dapur dan barangan elektrik kepada keluarga tersebut.
Siti Fatimah memberitahu, pada masa ini, dia terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.
Menurutnya, kesusahan yang menimpanya itu mendapat perhatian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah apabila menerima bantuan RM300 sebulan.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada JKM yang membantu saya, namun sumbangan bulanan itu masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Siti Fatimah boleh menghubunginya di talian 010-3105986. – UTUSAN