KUBANG PASU: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) bersedia memfailkan satu lagi saman sivil terhadap pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh di sini sekiranya lebih ramai penduduk dan peniaga di kawasan itu mahu mengambil tindakan yang sama terhadap peniaga itu selepas ini.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Cake sebelum ini yang mewakili kira-kira 200 penduduk dan peniaga telah memfailkan saman terhadap pemilik restoran itu, Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 19 Ogos lalu.
Menurutnya, penduduk dan peniaga terbabit memfailkan saman selepas Nazer yang ingkar arahan kuarantin telah menyebabkan penularan Covid-19 bagi Kluster Sivagangga sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan terhadap mereka.
“Ketika ini, Cake masih didatangi beberapa individu yang bertanyakan mengenai hal tersebut walaupun Cake telah memfailkan saman bagi mewakili kira-kira 200 penduduk dan peniaga yang terjejas sebelum ini.
“Mereka yang berhasrat berbuat demikian diberi peluang untuk menghubungi Cake hingga 9 September depan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Napoh di sini semalam.
Utusan Malaysia 20 Ogos lalu melaporkan Cake yang mewakili 200 penduduk dan peniaga memfailkan saman sivil lebih RM1.5 juta terhadap Nezar di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Cake selaku plaintif mengemukakan saman sivil itu kepada defendan, Nezar yang menjadi pencetus Covid-19 bagi Kluster Sivangga di Napoh dan negeri ini sebelum merebak ke Perlis dan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal berkata, setakat ini, Cake kekal dengan nilai saman melebihi RM1.5 juta terhadap pemilik restoran nasi kandar itu.
“Kita akan lihat keadaannya nanti. Jika jumlah tuntutan saman tambahan itu kurang daripada RM1 juta, kita failkan saman di mahkamah sesyen dan jika nilainya lebih daripada itu, kita failkan saman di mahkamah tinggi,” katanya.
Beliau menambah, saman sivil tersebut diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia menjadi kes pertama membabitkan Covid-19 seumpamanya di dunia, selain turut mendapat perhatian dalam dan luar negara. – UTUSAN