REMBAU: Seekor anak buaya sepanjang satu meter ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Rembau dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Empang Batu Sepri, Sepri dekat sini petang tadi.
Ketua Skuad Operasi APM, Sarjan Mohd. Arfarizal Musa berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.50 petang dan segera ke lokasi yang terletak berhampiran dengan pintu Empangan Sepri tersebut.
“Operasi dimulakan pukul 5 petang dan dibantu anggota Rela. Kami menggunakan jala dan alat bersesuaian untuk menangkap anak buaya berkenaan.
“Operasi tamat pada pukul 5.48 petang. Anak buaya ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Azrul Azrin, 28, berkata, sekitar pukul 3 petang, dia bersama dua lagi rakannya pergi ke kawasan tersebut untuk memikat burung.
Katanya, secara tiba-tiba rakannya ternampak seekor anak buaya di kawasan empangan.
“Pada masa itu memang ada kanak-kanak yang mandi-manda berikutan kawasan ini menjadi tumpuan penduduk dan juga kaki pancing.
“Bimbangkan keselamatan mereka, saya minta mereka naik kerana anak buaya berkenaan menyorok di dasar sungai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sepri, Datuk Zulkarnain Shah Muhamad Sharip berkata, sejak 55 tahun menetap di kampung tersebut, penemuan anak buaya adalah yang pertama berlaku.
Menurutnya, kawasan berkenaan setahunya bukan habitat buaya.
“Jadi berkemungkinan ada pihak tertentu yang membuang anak buaya ini di sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE