SHAH ALAM: Walaupun bergelar insan istimewa, perkara itu tidak menghalang Mohd. Khairi Irsyad Kaharudin untuk turut sama merasai erti kemerdekaan.
Bagi Mohd. Khairi, 26, yang mengalami masalah pembelajaran, setiap tahun dia akan menanti bulan Ogos untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
“Hari merdeka adalah hari kibar bendera Malaysia. Jika waktu sekolah dahulu, saya selalu masuk pertandingan pakaian beragam yang dianjurkan setiap tahun.
“Saya sangat seronok bila ada program seperti ini dan orang bagi saya bendera, saya akan kibarkannya di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Kibar Bendera Hari Kebangsaan bersama anak-anak istimewa anjuran Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanic di Pasaraya Econsave Seksyen 36, di sini hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/MOHD.-Khairi-Irsyad-Kaharudin-resize.jpg)
Yang turut hadir, Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Botanic, Datuk Nor Shabudin Monil berkata, tujuan program itu diadakan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut tiba tiga hari lagi.
Menurut Nor Shabudin, pihaknya memberikan kira-kira sebanyak 1,000 bendera Malaysia kepada agensi kerajaan serta orang awam yang datang ke pasar raya Econsave.
“Antara agensi kerajaan yang hadir dalam program hari ini ialah polis Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Klang, Jabatan Pengairan dan Saliran Klang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
“Kira-kira 40 orang kurang upaya daripada beberapa pusat pemulihan dalam komuniti Klang turut terlibat dalam program hari ini dan mereka gembira untuk sama-sama raikan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya. – UTUSAN