Tuah Covid-19, kontraktor jana puluhan ribu ringgit sebulan - Utusan Malaysia

Tuah Covid-19, kontraktor jana puluhan ribu ringgit sebulan

MOHAMMAD Hatta Azam dan isterinya, Seri Hasrafina Darnor menunjukkan antara pakaian wanita terpakai berjenama yang dijual mereka ketika ditemui di Kangar, Perlis, hari ini. - FOTO/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia telah memberi kesan kepada sesiapa sahaja, sehingga ramai yang hilang punca pendapatan dalam sekelip mata.

Namun, bagi sesetengah individu, pandemik tersebut secara tidak langsung turut memberi hikmah atau tuah kepada mereka yang bijak mencari peluang lain bagi menjana pendapatan.

Bagi seorang kontraktor, Mohammad Hatta Azam, 34, yang kehilangan beberapa projek bina rumah di sekitar negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha mencari rezeki.

Hasil cetusan idea bersama isterinya, Seri Hasrafina Darnor, 32, pasangan terbabit tekad menjalankan perniagaan pakaian wanita terpakai yang berjenama secara atas talian.

Dengan modal permulaan sebanyak RM2,300, siapa sangka bulan pertama sahaja iaitu pada April lalu, mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM30,000 dan jumlah tersebut terus meningkat pada bulan-bulan seterusnya.

Kata bapa kepada dua orang anak berusia dua dan tiga tahun itu, antara jenis pakaian wanita terpakai berjenama yang dijual mereka adalah seperti GAP, Uniqlo, H&M termasuk gaun labuh dengan harga sekitar RM5 sehingga RM45 sehelai.

“Sehari kami mampu jual antara 200 hingga 300 helai pakaian. Berikutan sambutan menggalakkan, membuatkan saya mengambil sebanyak 200 kilogram barangan (pakaian terpakai) daripada pembekal setiap hari.

“Setiap hari khususnya pada waktu pagi atau tengah hari dan sebelah malam kami mempromosikan pakaian secara langsung di Facebook isteri saya (Serry Huda). Kebanyakan pakaian yang berkualiti dan masih cantik menarik perhatian pelanggan membeli barangan kami. Setakat ini, pakaian yang paling laris ialah baju Knitwear,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pekeliling, di sini hari ini.

Tambah Mohammad Hatta, selepas mengambil barangan daripada pembekal, dia terlebih dahulu mengasingkan pakaian yang masih elok dan cantik sebelum mempromosikan di Facebook.

“Ketika PKP, kerja-kerja pembinaan rumah yang ada terpaksa dihentikan. Pada masa itu, kami mencari jalan bagaimana hendak menjana pendapatan sehingga akhirnya tercetus idea untuk berniaga baju terpakai ini secara atas talian. Tidak sangka pula, dapat sambutan.

“Trend masa PKP baru-baru ini orang membeli barangan secara ‘online’ dan nampaknya berterusan sehingga hari ini. Kita tidak boleh putus asa sebaliknya perlu mencari peluang lain yang boleh menjana pendapatan,” katanya yang bercadang membuka butik pakaian selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya