Pendapatan kami hanya lepas beli beras, ikan kembung sahaja - Penoreh - Utusan Malaysia

Pendapatan kami hanya lepas beli beras, ikan kembung sahaja – Penoreh

Penoreh
JAAFAR Setu tetap menoreh getah di Felda Chuping, Padang Besar, Perlis. - Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: “Hasil pendapatan kami ketika ini hanya lepas beli ikan dan beras sahaja.”

Demikian keluhan para peneroka getah dari Felda Chuping di sini berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut yang mana purata harga bagi sekilogram getah sekerap ketika ini hanya sekitar RM1.80 atau RM1.60 – paling rendah pernah direkodkan sejak 20 tahun lalu.

Jika dibandingkan harga getah 10 tahun lalu pernah mencecah RM10 bagi setiap kilogram getah sekerap sebelum harga komoditi itu turun dan naik namun masih ditahap memuaskan lagi di bawah RM5.

Seorang peneroka, Jaafar Setu, 73, berkata, pendapatannya sehari selepas ditolak upah pekerja hanya sekitar RM30 sahaja dengan hasil getah sekerap pula dianggarkan 30 kilogram.

Bapa kepada empat orang anak yang mula menoreh getah di kawasan seluas 4.25 hektar sejak tahun 1990-an itu berkata, beberapa bulan lalu harga getah menjunam di bawah RM2 sekilogram.

“Nak dapat sehari RM30 itu pun bergantung kepada cuaca. Dalam sebulan, hanya sekitar 10 hari sahaja kami boleh menoreh, kalau hujan, langsung tiada pendapatan.

“Dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi, apa sangat boleh dibeli dengan RM30. Lepaslah beli ikan dan beras. Sekarang ini, harga bagi empat kilogram getah sekerap bersamaan dengan harga sekilogram ikan kembung. Bayangkan bagaimana keadaan kami sekarang apabila harga getah terlalu rendah,” katanya yang mengupah tiga pekerja ketika ditemui di Felda Chuping, di sini hari ini.

Tambahnya, jika tahun lalu, purata harga getah sekitar RM2 ke atas dia mampu menjana pendapatan antara RM60 atau lebih selepas ditolak semua kos termasuk upah pekerja setiap hari.

Seorang lagi peneroka, Shaari Daud, 75, berkata, sebelum ini, dia mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM1,500, sekarang hanya tinggal RM500.

Katanya yang mula meneroka kawasan ini sejak tahun 1978, harga getah kini adalah paling rendah sejak 20 tahun lalu dan tidak mustahil harga tersebut boleh turun lagi selepas ini.

“Hendak bayar pekerja lagi termasuk beberapa kos lain, berapa sangatlah yang tinggal. Jika dahulu, boleh juga simpan, sekarang nampaknya hanya lepas makan seharian sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda negeri, Izan Asmawi Habidan, 39, pula berkata, kerajaan perlu mencari jalan menaikkan harga komoditi tersebut seterusnya membantu para peneroka serta penoreh getah yang semakin tersepit.

Beliau yang juga peneroka generasi kedua Felda Chuping turut berharap agar kerajaan meletakkan harga siling getah sekurang-kurang RM3 sekilogram bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Jika kami (peneroka) terjejas, bagaimana pula nasib penoreh yang mengambil upah iaitu sekitar RM1.10 bagi setiap kilogram? 

“Setiap hari jika tidak hujan kami akan keluar selepas Subuh untuk menoreh. Namun pendapatan sejak akhir-akhir ini sangat rendah,” kata bapa kepada empat orang anak itu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya