Melaka benarkan pekerja asing solat Aidiladha di kilang - Utusan Malaysia

Melaka benarkan pekerja asing solat Aidiladha di kilang

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pekerja asing beragama Islam di negeri ini dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha yang jatuh pada 31 Julai ini di dalam kawasan kilang di tempat kerja masing-masing.

Kebenaran itu dikeluarkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil selepas kerajaan masih belum membenarkan golongan itu menunaikan solat di masjid dan surau sebagai langkah mengawal penularan Covid-19. 

ABDUL HALIM TAWIL

Bagaimanapun katanya, pihak majikan terlebih dahulu perlu membuat permohonan di Jabatan Mufti bagi melaksanakan solat tersebut agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bagi memberi peluang kepada warga asing untuk bersama-sama mengimarahkan sambutan Aidiladha.

“Bagaimanapun semua ini bergantung kepada toleransi pihak majikan kerana mereka perlu membuat permohonan dan menyediakan ruang sama ada menggunakan kawasan lapang di dalam kawasan kilang,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Mufti Melaka, di sini hari ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim memaklumkan, pihaknya juga telah menerima hampir 80 permohonan kebenaran khas daripada surau seluruh Melaka bagi menunaikan solat sunat Aidiladha. 

“Kita juga ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih bijak dalam menormalisasikan norma baru ini sepanjang perayaan termasuk hanya mengagihkan daging dari rumah ke rumah,” katanya. 

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, mereka yang ingin menunaikan solat di rumah pula perlulah memastikan jumlah seisi keluarga tidak melebihi had maksimum 20 orang seperti disarankan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak mempersendakan tertib solat termasuk penggunaan tongkat yang tidak bersesuaian seperti pedang, kayu golf atau permainan kanak-kanak ketika menyampaikan khutbah.

“Sebaliknya carilah bahan-bahan seakan tongkat misalnya kayu atau besi yang lebih sesuai bagi menggambarkan syiar Islam walaupun perkara itu adalah sunat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya