KUALA PILAH: “Saya sakit sejak tahun 2008 dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Gaji bulanan yang diterima pula bermula dari RM60 hingga RM200 tidak cukup untuk menampung keluarga.”
Itulah keluhan seorang ibu, Norsidah Amat Jan, 65, dari Kampung Dingkir Inas, Johol dekat sini, yang hanya memperoleh pendapatan RM60 sebulan hasil bekerja sebagai pembantu bungkus kuih.
Katanya, dengan gaji sekecil itu, dia kini berdepan kesukaran termasuk menyara tiga orang anaknya yang masih bersekolah.
Norsidah yang mengalami sakit ulu hati berkata, dia terpaksa bekerja walaupun gaji yang diterima kecil kerana perlu membayar bil tunggakan elektrik dan air.
“Saya berharap ada pihak boleh membantu terutama anak-anak yang masih bersekolah. Selain itu, saya juga tidak mampu menjelaskan bil air dan elektrik kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.
“Kami sekeluarga terpaksa menggunakan sambungan elektrik dan air secara tidak sah sejak lima tahun lalu,” katanya yang turut memberitahu suaminya kini berada dalam penjara.
Tambah Norsidah, seorang anaknya hanya bekerja kampung manakala seorang lagi bekerja di sebuah kedai serbaneka di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith hari ini menziarahi Norsidah selain turut menyerahkan bantuan bagi mengurangkan beban keluarga tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, pihaknya cuba membaik pulih rumah Norsidah yang agak usang dan mendapatkan bantuan bulanan daripada pihak terbabit. – UTUSAN