JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Verterinar negeri telah meluluskan sebanyak 520 permit sembelihan ibadah korban sehingga semalam sempena Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali berkata, permit itu melibatkan sebanyak 2,878 lembu, 300 kambing, 10 biri-biri dan tiga kerbau.
“Daerah dengan permohonan tertinggi adalah Pontian iaitu sebanyak 95 permit diikuti Johor Bahru dan Batu Pahat masing-masing 79 permit, dan Muar pula 62 permit,” katanya di sini hari ini.
Samsolbari berkata, jumlah haiwan sembelihan korban yang tinggi sempena Aidiladha ini menunjukkan bekalan berkenaan tidak terjejas walaupun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sementara itu, Samsolbari turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika melaksanakan ibadah korban.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menetapkan haiwan korban tidak melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau. – UTUSAN