Pemandu lori rempuh deretan kereta positif dadah

Pemandu lori rempuh deretan kereta positif dadah

Pemandu lori positif dadah
TANGKAP layar menunjukkan sebuah lori 10 tan merempuh deretan kenderaan yang sedang berhenti pada lampu isyarat merah dekat Persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori 10 tan yang terlibat dalam nahas 12 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, semalam ditahan polis dan disahkan positif dadah.

Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalanakn ke atas lelaki berusia 51 tahun itu didapati positif dadah jenis amfetamin atau metamfetamin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pemandu yang ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut mengesahkan kemalangan berlaku semalam melibatkan 12 kenderaan berpunca daripada masalah brek dialami lori terbabit yang kemudian terbabas ke arah bertentangan.

Jelas Sarudin, lori yang sedang menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam itu kemudian melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti pada lampu merah.

“Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.20 petang itu mengakibatkan seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV iaitu seorang lelaki berumur 58 tahun mengalami cedera parah di bahagian kepala dan sedang di rawat di zon merah Hospital Al Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.

“Manakala isteri yang berada di kerusi penumpang hadapan berusia 53 tahun bersama cucu remaja lelaki berumur 17 tahun juga dirawat di hospital yang sama, tetapi berada dalam keadaan yang stabil.

“Seorang lagi pemandu kereta Perodua Myvi iaitu seorang lelaki berumur 29 tahun mengalami kecederaan di badan berada dalam keadaan stabil turut di rawat di hospital sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau turut meminta mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya tampil ke hadapan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini