PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes dera membabitkan penghuni di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Batu 9, Cheras dekat sini.
Pasangan yang merupakan pemilik dan penjaga pusat perlindungan kanak-kanak itu ditahan pada pukul 3.20 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, penahanan pasangan warga tempatan masing-masing berusia 66 dan 68 tahun itu dilakukan selepas satu laporan diterima pihaknya pada 1 April lalu.
Kata beliau, laporan itu dibuat oleh seorang remaja berumur 18 tahun yang menyatakan, telah didera dengan cara dimarahi dan ditampar pada pipi kiri.
“Remaja berkenaan memaklumkan dia telah dimarahi atas alasan tidak mahu mendengar kata-kata pemilik dan penjaga rumah tersebut.
“Selain itu, terdapat dua laporan polis turut dibuat oleh saksi lain berhubung tindakan pasangan pusat perlindungan tersebut yang disyaki turut mendera emosi dan mental kanak-kanak yang menghuni tempat tersebut sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN