Penculik mati dalam aksi berbalas tembakan

Penculik mati dalam aksi berbalas tembakan di Bukit Tinggi

Penculik
PASUKAN forensik membuat siasatan di tempat kejadian susulan seorang suspek kes culik ditembak mati dalam aksi berbalas tembakan dekat Jalan Batu Unjur, Bukit Tinggi, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemuda dipercayai suspek kes culik ditembak mati oleh polis dalam aksi berbalas tembakan dekat Jalan Batu Unjur, Bukit Tinggi, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, suspek yang dipercayai terlibat dalam kes culik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Seremban cuba ditahan polis, namun bertindak melawan arus.

Bagaimanapun, keretanya berlanggar dengan kenderaan polis dan berjaya dipintas sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan menyebabkan suspek berusia 21 tahun itu ditembak mati di tempat kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan dan Operasi), Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, ketika kejadian suspek menggunakan jenis Proton Wira berwarna Biru dan bernombor pendaftaran JKC2656.

Menurutnya, suspek dikesan susulan beberapa serbuan dan tangkapan dibuat sebelum ini berhubung kejadian culik oleh suspek yang meminta wang tebusan berjumlah RM2 juta pada 10 April lalu.

“Jadi, hari ini polis mengesan suspek yang terlibat dan salah seorangnya kita percaya ditembak mati hari ini, menggunakan kereta Wira dan suspek berusia 21 tahun tiada rekod jenayah. Ia merupakan suspek yang kita percayai positif terlibat dalam kes culik di Seremban.

“Selain itu, ada beberapa serbuan dan tangkapan yang kita buat, tak lama selepas kejadian, jadi perincian secara keseluruhan akan dirumuskan oleh Pengarah JSJ atau Ketua Polis Selangor dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, selepas kejadian tersebut, siasatan polis turut menemukan sepucuk pistol dan sebilah parang di dalam kereta suspek, namun masih menunggu laporan daripada bahagian forensik.

Selain itu, Fadil turut memaklumkan, pihaknya sudah pun merampas wang tunai sebanyak RM280,000 dan sejumlah barangan kemas dipercayai sebagai tebusan yang diperolehi insiden culik tersebut.

“Pada 10 April lalu, seorang perempuan diculik di Avenue 2, Seremban, kemudian pada 11 April, mangsa dilepaskan dan ditinggalkan di Sendayan kira-kira pukul 8.30 malam. Namun, siasatan polis masih diteruskan untuk mengesan suspek.

“Apa yang sudah dibayar RM280,000 dengan sejumlah barang kemas. Permintaan asal RM2 juta, namun apa yang kita perolehi (rampas) akan dimaklumkan kemudian,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau percaya kes culik tersebut selesai selepas beberapa suspek ditangkap termasuk seorang yang ditembak mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN