Siasatan Ismail Sabri daripada satu fail kepada fail lain - Azam

Siasatan Ismail Sabri, daripada satu fail kepada fail lain – Azam

Ismail Sabri
AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka lebih daripada satu fail siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penemuan wang tunai RM170 juta dan jongkong emas yang dikaitkan dengan beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pembukaan fail siasatan lain itu adalah berdasarkan maklumat diperolehi daripada risikan SPRM serta petunjuk-petunjuk baharu berhubung penemuan bahan bukti tersebut.

“Kita bukan sahaja membuka fail yang asal berkaitan dengan isu Keluarga Malaysia sahaja, tetapi, berdasarkan maklumat baharu daripada risikan kita. Maka kita buka beberapa fail lagi terhadap beliau yang mana ia berkaitan dengan harta-hartanya.

“Beliau diarahkan untuk mengisytiharkan hartanya, itu pertama. Kedua, beliau kena jawab isu-isu tohmahan rasuah. Ketiga, berhubung dengan penemuan wang seperti yang saya tunjukkan. Itu perkara-perkara yang kita perlu siasat dan beliau perlu menjawab,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu beliau menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM mengesahkan rampasan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.

Malah, pihak berkuasa itu turut menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai safehouse.

Jelas Azam, Ismail Sabri akan dipanggil lagi untuk siasatan bagi mengenal pasti pelbagai maklumat berkaitan sumber wang dan jongkong emas tersebut.

“Hari ini beliau sudah diambil lagi sebahagian daripada rakaman percakapan dan beliau akan disambung lagi cuma saya tak pasti sama ada esok atau lusa. Kerana banyak lagi perkara yang perlu disoal kepada beliau.

“Kita menyiasat dalam kes ini adalah berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan juga pengubahan wang haram.

“Jadi, tak tahulah pada masa akan datang jika timbul isu baharu, saya memberi jaminan SPRM akan terus menyiasat walaupun isu itu baru timbul,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau akan memaklumkan jika terdapat individu lain akan dipanggil selain daripada empat pegawai dikaitkan dengan Ismail Sabri yang pernah ditahan SPRM sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya