KUALA LANGAT: Premis sisa elektronik atau e-waste haram yang digempur di seluruh negara menerusi Op Hazard bulan lalu berkemungkinan turut melibatkan sindiket jenayah terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gangster berdasarkan risikan polis yang mengesahkan masih ada premis seumpama itu beroperasi di negara ini.
“Semua perkara itu (termasuk jenayah terancang) dalam pemerhatian polis kerana ia melibatkan elemen jenayah dan keselamatan.
“Apabila pengoperasian itu besar (kilang) dan mempunyai rangkaian seluruh negara, ia tentu tidak melibatkan operasi individu,” katanya selepas meninjau sebuah kilang haram memproses sisa elektronik termasuk 50 tan peluru dan kelongsong, hari ini.
Tambahnya, beliau memberi sudah pun taklimat penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai serbuan dan siasatan berkaitan isu e-waste.
“Beliau (Perdana Menteri) memberi panduan bagaimana hal itu perlu ditangani semua agensi kawal selia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kita juga akan lihat punca kemasukan kontena e-waste termasuk semakan ke atas semua dokumen,” ujarnya.
Malah, kata Saifuddin, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kalau ada elemen jenayah, PDRM akan siasat. Manakala elemen rasuah sudah tentu autoritinya SPRM. Siasatan perlu berakhir dengan pertuduhan dan kerjasama pelbagai agensi ke arah melengkapkan siasatan secara kredibiliti sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” jelasnya.
Pada 15 Februari lalu, PDRM dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Hazard di seluruh negara merampas pelbagai bahan e-waste dianggarkan bernilai RM2.86 bilion seberat 22.9 kilogram.
Selain itu, SPRM dan Jabatan Imigresen menerusi Op X menggempur 12 kilang di Segamat, Johor dan Telok Panglima Garang.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini turut mendedahkan ada pegawai yang menjalankan tindakan penguatkuasaan e-waste diperas ugut.
Ugutan yang diterima antaranya rakaman aktiviti anak mereka ketika berada di sekolah. – UTUSAN