Polis siasat kes ceroboh, ambil kenderaan di syarikat perkapalan

Polis siasat kes ceroboh, ambil kenderaan di syarikat perkapalan

Syarikat perkapalan
TANGKAP layar daripada video tular memaparkan sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan mengambil kereta masing-masing dekat kawasan parkir Kota Bayu Emas, Pendamar, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu menceroboh dan mengambil kenderaan tanpa kebenaran daripada sebuah syarikat perkapalan di Kota Bayu Emas, Pendamar di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang juga pengarah syarikat itu, pukul 6.24 petang.

Menurutnya, pengadu memaklumkan sekumpulan lelaki datang ke salah sebuah kawasan parkir dan mengeluarkan 28 buah kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan pihak insurans.

“Siasatan mendapati syarikat itu membawa 1,517 kenderaan menaiki sebuah kapal dari Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu, Sabah, namun mengalami kebakaran ketika dalam perjalanan.

“Pihak penyelamat laut kemudian memadam kebakaran dan menyelamatkan sejumlah besar muatan kapal termasuk kenderaan yang dibawa ke parkir itu untuk disimpan,” katanya malam tadi.

Jelas Hoong Fong, siasatan lanjut mendapati beberapa kenderaan yang dibawa syarikat perkapalan itu tidak mempunyai insuran pelayaran.

“Justeru, syarikat itu mengkehendaki semua pemilik kereta membayar sejumlah wang kepada syarikat perkapalan bagi menampung kos perkhidmatan pihak penyelamat laut sebelum diserahkan semula kepada pemilik.

“Pemilik-pemilik yang tidak berpuas hati kemudian memohon bantuan pertubuhan Semboyan Malaysia untuk mengeluarkan kereta itu. Walaupun ada beberapa siri perbincangan, syarikat itu tidak bersetuju menyerahkannya sehingga mendapat keputusan mahkamah,” ujarnya.

Tambahnya, susulan itu sekumpulan lelaki kemudian memasuki kawasan parkir kereta untuk mengambil kenderaan tanpa kebenaran, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

“Justeru, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh. Semua individu yang terlibat akan dipanggil bagi direkodkan percakapan dan keterangan,” katanya.

Hoong Fong meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, pemilik kapal, MV Malaysia Star dilapor membuat laporan polis terhadap Semboyan Malaysia selepas mendakwa pihak berkenaan menceroboh dan mencuri beberapa kenderaan, semalam.

Tindakan itu didakwa satu perbuatan jenayah yang melanggar hak undang-undang pemilik kapal dan tidak berpatutan.

Pemilik kapal akan mengkaji semua tindakan undang-undang yang tersedia sama ada dalam bentuk tindakan sivil ataupun jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya