KUALA SELANGOR: Polis mengesahkan siasatan terhadap insiden pergaduhan yang berlaku pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kuala Selangor 2025 yang diadakan di Bestari Jaya, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut mendakwa diugut oleh seorang lelaki.
“Pengadu menyatakan menerima ugutan daripada seorang lelaki yang mengangkat parang kepada pengadu. Kemudiannya lelaki berkenaan datang ke arah pengadu dan membuat provokasi.
“Ekoran daripada laporan berkenana, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangr menjalankan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor ditalian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu tular beberapa potongan video memaparkan insiden pertengkaran antara beberapa individu hadir dalam mesyuarat tersebut yang dijadualkan berlangsung pukul 11.30 pagi.
Malah wujud dakwaan terdapat pihak yang membawa sekumpulan samseng pada mesyuarat berkenaan untuk mencetuskan kekecohan dan mengganggu proses mesyuarat tersebut.
PKR Cabang Kuala Selangor antara kawasan yang melalui proses pemilihan parti di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung pada April ini sebelum pemilihan di peringkat pusat pada April. – UTUSAN