KLANG: Polis merampas 1,234 tan metrik sisa elektronik (e-waste) yang dianggarkan bernilai RM33.18 juta menerusi serbuan ke atas sebuah kilang penyimpan barang lusuh oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dekat Taman Perindustrian Meru, di sini, semalam.
Sisa yang dirampas terdiri daripada 16.1 tan tembaga, 207.9 tan aluminium, 112 tan aluminium belum proses, 81 tan aluminium mampat, tujuh tan aluminium dicampur, 787.5 tan e-waste campuran dan 23.1 tan campuran e-waste belum diproses.
Komander Wilayah 1 PPW, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan dilakukan sepasukan Unit Risikan PPM Wilayah 1 Pelabuhan Klang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Menurutnya, dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, pihaknya menemukan sejumlah sisa yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual yang merangkumi tembaga, aluminium dan sisa campuran lain.
“Modus operandi kilang berkenaan adalah dengan memperoleh sisa tersebut dari luar negara sebelum memproses semula bahan berkenaan untuk dieksport ke negara lain. Manakala sisa Buangan Terjadual pula ditinggalkan di negara ini tanpa pelupusan selamat.
“Ketika serbuan, polis turut merampas tiga buah forklift berjenama Toyota, dua alat penimbang, sebuah lori berjenama Daihatsu Delta, sebuah mesin e-waste, sebuah mesin pengering dan tiga buah mesin conveyor,” katanya kepada pemberita, hari ini
Tambah Rusley, ramai yang mengetahui kilang berkenaan memproses barangan terpakai, namun tidak mengetahui premis tersebut turut memproses e-waste.
Jelasnya, ketika serbuan, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun yang dipercayai penjaga kilang, namun pihaknya kini sedang memburu pemilik premis terbabit.
“Kami masih lagi menyiasat berapa lama premis ini telah menjalankan kegiatan memproses e-waste. Kilang ini mempunyai lesen menyimpan barang lusuh, namun tidak mempunyai lesen memproses e-waste,” jelasnya.
Bagaimanapun, Rusley memberitahu, berdasarkan siasatan, kilang terbabit tidak mempunyai kaitan dengan sindiket e-waste yang terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.
Menurutnya, kesemua rampasan telah diserahkan kepada JAS dan kes disiasat di bawah Seksyen 34a(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – UTUSAN