SHAH ALAM: Suspek kes samun kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 22 Mac lalu dipercayai terdesak kerana menanggung hutang berjumlah RM120,000 menyebabkan dia nekad melakukan jenayah tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang baru berkahwin kira-kira empat tahun itu tinggal bersendirian di rumahnya dekat Bukit Beruntung, sementara keluarganya berada di Kelantan.
“Polis mendapati dia ada hutang hampir RM120,000, antara sebab dia kata melakukan samun sebab hendak membayar hutang. Sama ada hutang jenis apa atau ah long, masih dalam siasatan.
“Kita percaya kemungkinan dia akan melarikan diri ke Kelantan, tetapi polis dapat tangkap lebih awal,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, suspek yang bekerja sebagai polis bantuan memperoleh senjata api dari tempat kerjanya dan mengetahui kata laluan dan kaedah bagi mendapatkannya sebelum membawa bersama ke lokasi samun.
“Senjata api adalah salah satu yang digunakan oleh pasukan polis bantuan di tempat dia bekerja, jadi dia tahu kata kunci yang berkaitan untuk membawa keluar senjata api tersebut.
“Sebelum kejadian, dia pergi (ke tempat kerja) untuk mengambil senjata api untuk melakukan rompakan dan dia pergi balik ke tempat simpanan senjata untuk meletakkannya semula dan pulang ke rumah untuk bersiap masuk kerja,” jelasnya.
Kata Hussein, suspek tidak mempunyai rekod lampau, dia kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac ini dan kes di siasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.
Beliau memberitahu, polis mengenal pasti suspek menerusi risikan polis termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membawa kepada penangkapan lelaki berusia 32 tahun itu di rumahnya.
Malah, suspek ditahan sebelum dia memulakan kerja tidak jauh dari tempat tinggalnya.
“Suspek bekerja selama tujuh atau lapan tahun dengan salah satu syarikat yang mempunyai perkhidmatan polis bantuan. Jadi, pada masa kejadian dia tidak bekerja dan dia dijadualkan untuk masuk syif pada pukul 12 tengah malam,” ujarnya.
Kata Hussein lagi, ketika tangkapan dilakukan polis menemui barang kes 81 utas rantai, wang tunai sebanyak RM1,800 milik pelanggan wanita, segugus kunci berserta alat kawalan jauh berlambang Proton, sebuah telefon pintar jenis Vivo, satu beg galas dan beg silang berwarna kelabu dan hitam, sekeping kad kuasa polis bantuan atas nama suspek serta beberapa barang kes termasuk pakaian.
“Ketika kejadian, dia melakukan samun secara bersendirian. Dia sendiri yang memandu kereta, kemudian pergi ke lokasi dan melakukan rompakan, melarikan diri dengan memandu kereta jenis Proton Persona,” tambahnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun tujuh dulang barangan kemas, namun suspek ditahan lima jam kemudian dan menemui semula barang yang disamun itu.
Pusat Kawalan Polis (DCC) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api dekat pasar raya di Kota Damansara pada 4.56 petang. – UTUSAN