Penjenayah bertopeng samun hab syarikat kurier RM46,000

Penjenayah bertopeng samun hab syarikat kurier RM46,000

Samun kurier
TANGKAP layar video tular memaparkan kejadian samun dekat sebuah hab syarikat kurier, Meru di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga penjenayah bertopeng yang bersenjatakan parang menyamun wang berjumlah RM46,000 di hab pengumpulan barangan sebuah syarikat kurier di Meru di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 12.36 tengah hari itu, kesemua suspek menaiki sebuah kereta Perodua Bezza yang menggunakan nombor plat palsu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun mengenai kes samun wang tunai itu, pukul 1.19 petang.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika pengadu dan pekerja lain sedang melakukan proses mengira wang di premis tersebut.

“Siasatan mendapati tiga suspek berparang dan bertopeng muka meletakkan kereta di dalam kawasan hab itu. Kemudian mereka masuk ke premis dan bertindak melarikan wang tunai RM46,000 milik syarikat kurier berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Vijaya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Polis kini sedang mempergiatkan usaha memburu kesemua suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fazlan Rezza di talian 011-10561017 atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan suspek mengacu parang ke arah pekerja hab itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya