Pemilik kilang proses kelongsong peluru diburu, dikehendaki polis

Pemilik kilang proses kelongsong peluru diburu, dikehendaki polis

Proses kelongsong peluru
SAIFUDDIN Nasution Ismail memeriksa kelongsong peluru yang diproses secara haram dipercayai dibawa masuk dari luar negara, dekat sebuah kilang di Telok Panglima Garang, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang lelaki warga asing yang juga pemilik kilang haram memproses sisa elektronik atau e-waste termasuk peluru dan kelongsong dekat Telok Panglima Garang di sini, dalam senarai dikehendaki dan masih diburu polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan mendapati kilang yang diserbu bulan lalu itu mempunyai dua penama masing-masing warga tempatan dan warga asing.

“Warga tempatan itu ditahan namun warga asing menghilangkan diri dan dalam senarai pencarian kita.

“Tanah ini (kilang) didapati diwartakan sebagai zon industri dan tidak menimbulkan sebarang syak sepintas lalu sebelum serbuan dilakukan pihak berkuasa,” katanya ketika meninjau kilang itu, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati kesemua peluru itu dibawa masuk dari luar negara.

“Kuasa polis adalah tindakan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu berkaitan penemuan peluru manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka empat kertas pertuduhan.

“Pejabat Daerah juga mengesahkan bahawa premis itu beroperasi selama hampir dua tahun,” ujarnya.

Tambah Saifuddin, polis akan melihat semua aspek terutama keselamatan berikutan penemuan jumlah peluru yang banyak.

“Polis akan menilai semua sudut keselamatan. Ini (peluru yang ditemui) merupakan jumlah yang mengejutkan dan menggemparkan,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis merampas pelbagai barangan sisa elek­tronik termasuk guni berisi 50 tan peluru dan kelongsong di kilang berkenaan, 15 Februari lalu.

Operasi Hazard pukul 9 pagi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan risikan berkaitan aktiviti peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen sah.

Peluru dan kelongsong yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini sejak Januari lalu akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah dan tembaga.

Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) 3 dan 38, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007, Akta Imigresen dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kilang yang memproses kelongsong peluru secara haram itu dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan kesemua bahan berkenaan dirampas sehingga siasatan selesai sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya